Sombong
SOMBONG bererti terasa kelebihan dan kehebatan yang ada pada diri
sendiri, kemudian ditambah dengan sifat suka menghina dan merendahkan orang
lain. Orang sombong memandang rendah manusia lain kerana berasakan sesuatu
kelebihan yang ada pada diri mereka.
Begitulah sombongnya Iblis yang enggan sujud kepada Nabi Adam.
Tidak cukup dengan kesombongannya kepada Allah, lalu ia menempelak: “Mana bisa
aku bersujud kepada manusia, kerana aku dijadikan dari api yang mulia,
sedangkan Adam dijadikan dari tanah yang hina.
Penyakit sombong akan menyerang sesiapa saja, baik lelaki atau
perempuan, golongan bangsawan atau bawahan, berjawatan tinggi ataupun pengemis
di jalanan.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Aku akan belokkan dari keterangan-Ku, orang yang menyombongkan
dirinya di muka bumi, di luar kebenaran.” (Surah al-A’raaf, ayat 146)
Sombong yang paling keji ialah bersifat sombong terhadap Allah.
Tercatat dalam al-Quran, antara manusia yang pernah sombong terhadap Allah
ialah Namrud yang ingin memerangi tuhan, keduanya Raja Firaun yang pernah
mengaku dirinya Tuhan.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya, orang yang menyombongkan dirinya dari menyembah
Aku, akan masuk neraka jahanam dengan kehinaan.” (Surah al-Mu’min, ayat 60)
Sombong yang kedua ialah bersifat sombong kepada Rasul dan
ajarannya seperti tidak mengiktiraf rasul yang diutus Tuhan kerana kemiskinan
dan kehinaan keturunan, seperti Firaun yang mengaku dan menganggap dirinya
tuhan, tidak mengaku Nabi Musa rasul utusan Allah.
Begitu juga Abu Lahab serta kaum Quraisy yang enggan menerima
Muhammad SAW sebagai nabi akhir zaman.
Oleh itu mari kita memeriksa diri, apakah kita sudah dijangkiti
virus sombong ini atau tanpa diketahui kita adalah salah seorang penghidap
serius penyakit itu selama berpuluh tahun.
Iman Al-Ghazali menyimpulkan ada tujuh cara untuk mengenali
seseorang yang sedang dan sudah menghidap penyakit hati yang merbahaya ini :
Pertama, kelebihan seseorang kerana pengetahuan ilmunya, baik ilmu
dunia atau ilmu akhirat. Apabila ilmu sudah penuh di dada dia menganggap semua
orang lain jahil belaka, semua orang buta dan jika ada pandangan yang bernas
tetapi tidak diterimanya.
Orang sombong seumpama ini, menghendaki dirinya selalu dihormati
oleh orang lain terutama ketika di khalayak ramai, oleh anak muridnya dan orang
bawahannya serta sentiasa meminta diberi layanan mulia.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tidak akan masuk neraka, orang yang di dalam hatinya ada seberat
sebiji sawi darinya iman, dan tidak akan masuk syurga yang di dalam hatinya ada
seberat biji sawi darinya sombong.” (Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud)
Keduanya kerana kelebihan beribadat seseorang. Penyakit orang ahli
abid yang merasa diri mereka terlalu banyak beribadat berbanding dengan orang
lain sehingga menganggap orang lain tidak mampu beribadat seperti mereka.
Sedangkan mereka terpedaya dengan tipu daya syaitan. Rasulullah
SAW mengingatkan melalui sabda Baginda yang bermaksud:
“Bahawa siapa yang memuji dirinya sendiri atas suatu amal salih,
bererti sudah tersesat daripada mensyukurinya, dan gugurlah segala amal
perbuatannya.”
Jika kita bersifat seperti ini, menghina orang yang tidak
bersembahyang atau apabila orang mengerjakan maksiat, lantas menggelengkan
kepala dan terdetik di dalam hati, “Apa nak jadi dengan kamu semua. Mengapa
tidak alim dan warak seperti aku,” maka kita adalah dalam kategori orang yang
berpenyakit sombong. Oleh itu, bersegeralah bertaubat atas kejelekan akhlak.
Perkara ketiga yang membuatkan kita sombong ialah kerana ego
memperkasakan keturunan, bangga kita berketurunan mulia lagi bangsawan, suka
menyebut nama datuk nenek moyang kita yang dulunya dikatakan keramat atau
hebat.
Sifat sombong seperti ini tidak ubah seperti kaum Bani Israel yang
dilaknat Tuhan, seperti termaktub dalam al-Quran. Mereka bangga dengan
keturunan mereka yang banyak menjadi nabi ikutan, konon keturunan mulia
dikasihi tuhan.
Mereka rakus melakukan apa saja termasuk membunuh golongan lemah
kerana keegoan menganggap orang
lain tidak semulia mereka. Seandainya kita zalim, bangga dengan status
keturunan, maka kesombongan itu sama dengan kesombongan kaum Bani Israel yang
dilaknat tuhan.
Perkara keempat menjadikan kita beroleh sombong ialah kerana
berasa diri cantik dan sempurna malah memandang orang lain dengan hina, seperti
merendah-rendah ciptaan Allah hingga sanggup menyindir atau memberi gelaran
tidak baik seperti pendek, berkulit hitam atau gemuk.
Sifat sombong kelima berpunca daripada kelebihan harta diberi
Allah membuat kita lupa daratan, berbangga dengan kekayaan yang ada, rumah
besar, kereta mewah hingga memandang rendah orang yang kurang berada.
Keenam, sombong kerana kekuatan dan kegagahan diri. Semua orang
akan dibuli kerana kuatnya badan kita tidak terperi, hingga boleh memakan kaca
seperti mengunyah. Boleh menarik bas dan lori hanya dengan gigi. Boleh dihempap
badan dengan batu dan besi.
Akhirnya yang ketujuh kata Imam Ghazali, ialah sombong dan
berbangga kerana ramainya pengikut setia di belakang diri, sepertinya orang
alim berbangga dengan ramainya murid yang memuji. Guru silat pula berbangga
dengan ramainya murid yang tidak lut ditetak dan dijilat api.
Justeru, hendaklah memeriksa diri sama ada tujuh perkara yang
membawa kepada penyakit sombong ada pada kita atau tidak. Penawarnya ada di
tangan sendiri kerana penyakit sombong hanya akan memakan diri.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:
“Orang yang sombong, keras kepala dan takbur, akan dikumpulkan
pada hari kiamat, dalam bentuk semut yang kecil, yang dipijak mereka oleh
manusia, kerana hinanya mereka pada Allah.” (Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dari
Abu Hurairah).
0 komentar:
Posting Komentar